Thứ Tư, 7 tháng 12, 2011

PM Terbuka Tetapi Siswa Dan Profesor Terus Tertutup

The Malaysian Insider
subky Latif

Perdana Menteri Najib berjanji di Parlimen untuk meminda akta AUKU bagi memboleh siswa yang layak mengundi menyerta mana-mana parti politik. Sebelumnya Perdana Menteri itu juga mengumumkan di Parlimen untuk memansuhkan ISA dan meminda akta polis.

Tetapi sudah masuk bulan ketiga ISA masih gah dan menunggu ganti rang yang memungkinkan ada juga tahanan tanpa bicara. Ada pun akta polis yang hendak diredakan itu cuba digantikan dengan undang-undang yang tidak banyak lagi tempat boleh diadakan tunjuk perasaan.

Dalam suasana ini — orang mulai tidak percaya terhadap niat terhadap ISA dan AUKU — akta universiti dan universiti kolej pula hendak membenarkan siswa menyertai politik.

Apa pula yang tersorok di sebaliknya?

Adakah sama dengan dijanjikan oleh Buku Jingga Pakatan Rakyat. Ganti ISA dan akta polis jelas tidak sama dengan janji Buku Jingga. Tidak mustahil akta universiti juga sama.

Katakanlah benar siswa bebas berpolitik. Kononnya PM dan kerajaannya sudah terbuka tetapi mahasiswa dan antara rektor universiti pula mengatakan akta yang ada adalah sempurna dan tiada perlu dipinda.

Seolah-olah mereka pula yang ada belenggu. Memang betul siswa dan setengah profesor tidak terbuka seperti Perdana Menterinya. Mengapa begitu? Ia adalah belenggu akta universiti mencengkam warga kampus sejak akta itu diperkenalkan oleh pentadbiran Tun Razak dulu.

Ketika akta itu dibentangkan oleh Tun Razak, Tan Sri Syed Jaafar Albar mengira akta itu boleh membodohkan sekalian siswa dan universiti akan melahirkan graduan yang dungu.

Mahathir sebagai menteri pelajaran berkata, sebagai doktor perubatan, apabila dia merasa rawatan pesakit hanya pembedahan sekali pun pesakit akan mati dengan pembedahan, tetapi doktor tetap membedahnya.

Kata Syed Jaafar Albar, kalau pesakit itu mati kerana dibedah, yang mati dia seorang. Tetapi kalau warga universiti dibedah, yang mati adalah rakyat seluruhnya. Apakah siswa dan naib censelor yang mempertahankan akta AUKU itu bukan suara dari kubur?

Suara siswa dan profesor yang demikian sama dengan anak tanah jajahan yang terbelengga dengan penjajah. Apabila ada tuntutan kemerdekaan, maka anak jajahan seperti itu bersuara bagaimana hendak merdeka kalau membuat jarum pun tak tahu.

Samalah seperti keadaan kaum Bani Israil yang beratus tahun dijadikan hamba abdi di bawah pemerintahan Firaun, dinasti raja Mesir purba. Antara kekejaman Firaun ialah membunuh anak laki-laki Bani Israil hingga menjadi perempuannya berlebihan. Antara perempuan itu dijadikan sebagai gundik dan hamba seks laki-laki Khibti iaitu bangsa Firaun.

Nabi Musa a.s. dalam membebaskan Bani Israil dari perhambaan Firaun. Beratus ribu meninggalkan Mesir menuju Baitul Maqdis sebagai bangsa yang merdeka.

Tetapi kebanyakan tidak selesa hidup sebagai bangsa yang merdeka. Mereka terasa lebih senang dari hamba di bawah Firaun sekali pun mereka terpaksa dikerah kerja berat tidak menigikut masa tanpa upah kecuali diberi makan. Firaun beri mereka makan kerana dengan makan itu mereka ada tenaga untuk bekerja keras. Kalau mereka boleh hidup dan bekerja tanpa makan, Firaun tidak rasa perlu memberi mereka makan.

Kerana terlalu lama menjadi hamba, Bani Israil tidak tahu cari makan sendiri dan tidak untuk buat kerja tanpa dikerah.

Ada pun profesor dan siswa yang merasa indah AUKU tidak pernah merasa nikmat kebebasan sebagai mahasiswa dan warga kampus dan itulah ibarat nasib yang dilalui oleh Bani Israil lima ribu tahun dulu.

Generasi 50 tahun selepas merdeka sudah sukar menemui siswa seperti Aminuddin Baki dan Musa Hitam dan kita juga payah menggantikan profesor seperti Pendita Za’ba dan Ungku Aziz.

Entah mengapa kita dapat Prof Aziz Bari tetapi dia hanya seorang dari seribu.


Link to full article

Không có nhận xét nào:

Đăng nhận xét

Bài đăng phổ biến